Putra akan tanding semua kerusi di Kelantan - Ibrahim Ali

Muhafandi Muhamad
Mac 12, 2021 16:47 MYT
IBRAHIM: Putra turut menawarkan calon golongan marhaen, tokoh agama termasuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa kerusi DUN. - Gambar fail
TUMPAT: Sejumlah 12 orang tokoh akademik bergelar profesor, jurutera aeroangkasa serta jurutera awam adalah antara calon yang bakal ditampilkan oleh Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kelantan.
Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata Putra akan bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 Parlimen di seluruh negeri itu.
“Suka saya nyatakan di sini Putra akan bertanding penuh di 45 DUN dan 14 Parlimen, insya-Allah. Cuma 14 Parlimen itu kita bahagikan tiga kategori kerana kita buat keputusan untuk tawaran kepada rakyat sebagai kerajaan alternatif, dengan tagline kita 'Putra boleh merealisasikan impian rakyat Kelantan'.
Mengulas lanjut, Putra katanya turut menawarkan calon golongan marhaen, tokoh agama termasuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa kerusi DUN.
Dalam menawarkan wadah perjuangan yang merealisasikan impian rakyat, Ibrahim optimis mahu membawa perubahan besar kepada negeri Kelantan yang masih ketinggalan dalam pelbagai sektor.
Bahkan katanya, isu air, isu penghijrahan anak negeri mencari kerja di luar serta isu tanah masih gagal diselesaikan kerajaan Kelantan.
Ibrahim atau popular dengan sapaan Tok Him mengesahkan beliau akan bertanding di salah satu kerusi DUN di sini manakala bagi kerusi Parlimen, itu akan dipertimbangkan sama ada Parlimen Gombak atau salah satu Parlimen di Kelantan.
#Ibrahim Ali #tok him #PUTRA #Parti Bumiputra Perkasa Malaysia #Kelantan #tanding kerusi #DUN #Parlimen #isu kelantan
;