Puteri UMNO perlu berevolusi sesuai perubahan zaman - Nurul Amal
Faida Rahim
Ogos 22, 2024 14:40 MYT
Ogos 22, 2024 14:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Puteri UMNO perlu terus aktif, berevolusi sesuai dengan perubahan zaman, pantas beradaptasi serta berfikir di luar lingkungan kebiasaan, kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Beliau berkata dinamik politik pada masa kini bergerak terlalu pantas dan sekiranya ahli leka sejenak, UMNO akan ketinggalan selamanya.
"Kita perlu berkembang melangkai sempadan parti, berkolaborasi dengan organisasi luar agar mereka dapat melihat sendiri kemampuan dan kelebihan Puteri. Kita juga dapat belajar antara satu sama lain dan membesarkan perspektif dan interpretasi. Jangan kata Puteri tak berubah. Ini zaman kita," katanya
Beliau berkata demikian ketika Persidangan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan kepada seluruh anggota Puteri UMNO agar lebih berani tampil ke hadapan, meskipun tidak terlalu radikal namun tegas dalam bersuara.
"Bagi orang luar, kita sekadar penyeri parti, jadi buktikan dan jadikan ubat supaya semangat kita lebih kuat. Tiada sayap wanita muda parti lain seteguh sayap Puteri UMNO. Kita perlu matang, kita parti yang matang yang terbukti mampu berjuang. Setiap halangan dan cabaran, kita jadikan satu loncatan," katanya.
PAU berlangsung bermula 21 hingga 24 Ogos di WTC, dengan 6,433 perwakilan dari seluruh negara.