Puteri UMNO gesa siasatan menyeluruh kegagalan pelaburan RM43.9 juta Khazanah, PNB

Faida Rahim
November 3, 2024 17:00 MYT
Nurul Amal (foto) berkata ketelusan dalam pengurusan dana awam adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi Kerajaan. -Facebook
KUALA LUMPUR: Puteri UMNO menyeru satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi memahami punca kegagalan pelaburan berjumlah RM43.9 juta dialami Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Ringkasan AI
  • Puteri UMNO menyeru siasatan menyeluruh terhadap kegagalan pelaburan RM43.9 juta oleh Khazanah Nasional Berhad dan PNB dalam FashionValet untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam.
  • Menekankan kepentingan tadbir urus korporat yang baik dan memastikan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan analisis yang teliti dan risiko yang wajar.
  • Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kerugian pelaburan Khazanah dalam FashionValet dan isu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ini kerana ketelusan dalam pengurusan dana awam adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi Kerajaan.
"Kami juga menekankan kepentingan tadbir urus korporat yang baik dalam setiap pelaburan yang dibuat oleh agensi kerajaan.
"Ini termasuk memastikan bahawa setiap keputusan pelaburan dibuat berdasarkan analisis yang teliti dan risiko yang diambil adalah wajar," katanya.
Beliau turut menegaskan ramai usahawan di luar sana menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dana dan penting untuk memastikan proses pemberian dana adalah adil dan telus.
"Jika terdapat isu tatakelola, tindakan sewajarnya hendaklah diambil. Tiada siapa yang mengatasi undang-undang," katanya lagi.
Puteri UMNO, menurutnya, akan terus memantau perkembangan isu ini dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Beliau juga berharap agar langkah-langkah yang diambil akan memperkukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap institusi Kerajaan memastikan dana awam digunakan sebaik mungkin.
Sementara itu, Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu kerugian pelaburan Khazanah dalam FashionValet dan kemelut Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam.
#Puteri UMNO #Khazanah #Nurul Amal Mohd Fauzi #FashionValet #PNB
;