Puteri UMNO anjur Festival S.A.F.E - Fahariyah

Astro Awani
November 28, 2017 22:48 MYT
FAHARIYAH: Festival S.A.F.E ini adalah kempen untuk memerangi penderaan kanak-kanak terutamanya penderaan seksual. - Gambar fail
Pelbagai aktiviti bakal disajikan oleh Puteri UMNO kepada orang ramai yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bermula 5 sehingga 9 Disember ini.
Penolong Setiausahanya, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, antaranya Festival Stop Abuse For Averyone For A Safer And Fearless Environment (S.A.F.E.), Pink Reunion 2.0 dan Laman Puteri di Anjung Merdeka, PWTC.
"Ia akan melibatkan pelbagai pameran, kempen derma darah, demonstrasi seni visual dan pelbagai lagi.
"Festival S.A.F.E ini adalah kempen untuk memerangi penderaan kanak-kanak terutamanya penderaan seksual.
"Kita mahu memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih peka dan berani menangani isu ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2017 bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.
Dalam pada itu kata Fahariyah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga melancarkan lori S.A.F.E pada 4 Disember di pintu utama aras 2 PWTC.
"Bagi majlis makan malam 'Pink Reunion', ia bakal mengumpulkan ke semua bekas Ketua Pergerakan Puteri dan kepimpinan Puteri.
"Program ini akan di hadiri oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein," ujarnya.
Selain itu jelasnya, Laman Puteri juga akan menjadi lokasi aktiviti sayap parti itu selain kempen derma darah yang menjadi tradisi diadakan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.
"Terdapat juga pameran berkaitan Pergerakan Puteri UMNO sejak tahun 2013 sehingga kini," katanya.
#Pink Reunion 2 0 #Puteri UMNO #S A F E #Zahid Hamidi
;