Puteri bimbang manipulasi media sosial, hasut generasi muda Melayu

Hamzah Hamid
November 26, 2014 11:59 MYT
Mas Ermieyati juga khuatir dengan gerakan pihak tertentu yang merekrut anak-anak Melayu untuk tujuan menyebarkan doktrin liberalisme, sosialisme dan komunisme, dengan bertopengkan demokrasi. - Foto Astro AWANI/Hamzah Hamid
Pelbagai manipulasi di media sosial dan pergerakan senyap yang merekrut serta menghasut anak-anak Melayu agar menentang kerajaan serta perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan amat membimbangkan.
Kebimbangan itu disampaikan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam ucapan dasar beliau di Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
"Bahayanya media sosial ini, ia menyebarkan pelbagai propaganda dan fitnah selain menghasut.
"Dakyah yang tersebar itu ada kalanya cukup meyakinkan terutamanya apabila disertakan dengan gambar, statistik dan bukti yang dimanipulasi supaya kelihatan sahih," ujar beliau.
Antara perkara yang dibangkitkan Mas Ermieyati berkenaan isu manipulasi ialah mengenai subsidi dan harga minyak, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selain itu, fenomena troll yang boleh mengaibkan seseorang juga menurut beliau, walau mungkin nampak sebagai bahan jenaka tetapi di satu pihak lagi ia boleh mengundang sesuatu yang negatif.
Sebahagian dari Puteri UMNO yang menyertai Persidangan UMNO 2014 di PWTC. - Foto Astro AWANI/Hamzah Hamid
"Troll menjadi bahaya apabila kenyataan yang dibuat bertujuan menyindir lalu menjadi provokasi melampau dan boleh membawa kepada fitnah," ujar beliau.
Mas Ermieyati juga khuatir dengan gerakan pihak tertentu yang merekrut anak-anak Melayu untuk tujuan menyebarkan doktrin liberalisme, sosialisme dan komunisme, dengan bertopengkan demokrasi.
"Menggunakan tenaga pengajar orang Melayu. Pihak ini telah mempromosikan budaya liberal sehingga ke tahap ingin menghapuskan hak keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan," jelas beliau.
Jelas beliau, beberapa siri program itu ditumpukan di Lembah Kelang dan telah menyasarkan anak-anak Melayu lepasan universiti dari seluruh negara.
"Mereka menggunakan platform program ini untuk menghasut, membasuh dan memprogramkan pemikiran anak-anak Melayu kita menentang kerajaan, menolak perkara termaktub dalam Perlembagaan dan menjadi pelapis kepada ancaman liberal, sosialis dan komunis di negara ini," tegas beliau.
#Datuk Mas Ermieyati Samsudin #fitnah #Ketua Puteri UMNO #Perhimpunan Agung UMNO #propaganda
;