Pulau Pinang tidak dipinggirkan ketika zaman pemerintahan Najib - UMNO negeri

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 24, 2022 19:03 MYT
UMNO negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa dukacita dengan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir. - Gambar fail
GEORGE TOWN: UMNO negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa dukacita dengan hukuman penjara yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, terlalu banyak jasa bekas Perdana Menteri keenam kepada rakyat dan negara yang tidak boleh sama sekali dinafikan.
Musa berkata, walaupun Pulau Pinang bukan negeri di bawah teraju Barisan Nasional (BN) sepanjang tiga penggal lalu, namun, rakyat di negeri itu tidak pernah dinafikan haknya semasa zaman pemerintahan Najib sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, terlalu banyak dan tinggi nilai bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan ketika itu kepada masyarakat di negeri itu.
"UMNO Pulau Pinang menggenggam erat amanat dan mandat yang diberikan Najib untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat seterusnya memastikan UMNO terus berdiri gagah dalam agenda tersebut.
"Kami sentiasa menadah tangan dan berdoa semoga beliau dan keluarga tabah dan kuat menghadapi ujian yang getir ini," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
#Najib Razak #Najib dipenjara #SRC International #Musa Sheikh Fadzir
;