Pulau Pinang cadang persidangan DUN pada 1 September
Bernama
Julai 8, 2021 17:05 MYT
Julai 8, 2021 17:05 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang bercadang untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Sept depan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan pandangan berhubung keperluan untuk mengadakan sidang DUN dengan segera dan memperkenan permohonan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang agar ia diadakan selepas tempoh Proklamasi Darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos.
"Kerajaan negeri dan seluruh ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang atas hasil rundingan bersama-sama Seri Paduka dengan perkenan yang telah diberikan menurut Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 selaras dengan nasihat Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
" Sehubungan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan negeri mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang bersidang seperti biasa pada 1 Sept 2021 mengikut peraturan-peraturan mesyuarat yang berkaitan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Chow berkata dalam apa jua keadaan, kerajaan negeri akan sentiasa mendapatkan nasihat daripada MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang berhubung prosedur serta kaedah yang perlu dilaksana bagi memastikan kawalan penularan wabak COVID-19 dapat dipenuhi dengan jayanya sepanjang tempoh persidangan DUN.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dengan DAP 19 kerusi, PKR (12), Amanah (2) manakala Bersatu memiliki empat kerusi, UMNO (2) dan PAS (1).
-- BERNAMA