Pulau Pinang bantah usul persempadanan semula SPR - Guan Eng
Astro Awani
September 20, 2016 17:34 MYT
September 20, 2016 17:34 MYT
Kerajaan Pulau Pinang akan membuat bantahan terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan memfailkan bantahan itu sebelum 14 Oktober depan bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan parti komponen Pakatan Harapan.
Pihaknya juga mengkaji untuk membuat bantahan di mahkamah.
“Kami kena failkan bantahan dan mungkin mengkaji sama ada kami boleh failkan di mahkamah. Untuk Pulau Pinang, kurang adil. Dari segi impaknya juga kurang adil tetapi mungkin tidak besar seperti negeri-negeri lain yang sangat kurang adil yang cuba untuk memastikan UMNO atau Barisan Nasional menang balik, “ katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mak Mandin untuk projek pembangunan sekolah tersebut di sini hari ini.
Asas kepada bantahan tersebut kerana berlaku ketidakseimbangan dari segi bilangan pengundi di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN).
Guan Eng mengulas gesaan Sekretariat Pakatan Harapan pada Isnin agar kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang menolak usul persempadanan semula SPR.
Pada 15 September lalu, SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan DUN bagi negeri Semenanjung dan Sabah.
Syor kajian dilakukan SPR selama sebulan bermula 15 September lalu hingga 14 Oktober depan bagi mendapatkan maklum balas awam.
Kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan fasal (2) perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.