Pulau Pinang akan pertimbang tarikh 9 Mei sebagai cuti umum

Astro Awani
April 11, 2018 13:35 MYT
GUAN ENG: Melihatkan reaksi orang ramai, mereka tetap mempunyai niat dan iltizam utuk pulang buang undi.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk memberi cuti umum pada 9 Mei ini bagi memudahkan serta menggalakkan rakyat Pulau Pinang keluar mengundi pada Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU14).
Guan Eng berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pelbagai agensi berkaitan di negeri itu dan berharap kerajaan pusat juga dapat mengambil langkah sama untuk berbuat demikian.
Tambah Guan Eng , keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan hari pengundian pada hari Rabu iaitu hari bekerja adalah sesuatu yang tidak dijangka dan akan menjadi satu rintangan kepada pengundi yang berada di luar negeri dan yang bekerja untuk menjalankan tanggungjawab mengundi.
“Kerajaan negeri sedang mempertimbang untuk berbincang dengan pelbagai pihak untuk Pulau Pinang saja. Tapi kita harap (tarikh 9 Mei sebagai hari cuti umum) boleh dilakukan oleh kerajaan peringkat pusat.
“(Pengundian pada hari bekerja) akan jadi satu rintangan tapi melihatkan reaksi orang ramai, mereka tetap mempunyai niat dan iltizam utuk pulang buang undi,” kata Guan Eng.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Pulau Pinang 2018 di Sekolah Agama Rakyat Saidina Abu Bakar As-Siddiq, di Taman Guar Perahu, Pulau Pinang.
Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan kepimpinan parti.
Pada Isnin, SPR menetapkan hari penamaan calon pada 28 April dan tarikh mengundi pada Rabu (9 Mei) yang jatuh pada hari bekerja.
Penetapan hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja itu mendapat reaksi pelbagai dari kalangan pemimpin politik pembangkang dan rakyat.
#9 Mei #buang undi #cuti umum #Lim Guan Eng #MalaysiaMemilih #pilihan raya #politik #PRU14 #pulau pinang #tarikh
;