Puad Zarkashi gesa BN tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Irwan Muhammad Zain
Disember 24, 2020 12:38 MYT
Mohd Puad berkata, BN perlu lebih tegas melalui Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) jika kerajaan PN masih berdolak dalik untuk menyelesaikan dua perkara utama yang dituntut pada Belanjawan 2021 itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mohd Puad berkata cadangan beliau itu susulan kegagalan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengotakan janji.
Ini terutamanya dalam mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian enam bulan moratorium secara automatik.
"Betul, MP akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan “keberanian politik”.
"Justeru apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan?
"Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat.
"Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup. Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani," katanya menerusi Facebook miliknya, pada Khamis.
Menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu, rakyat masih terbelenggu dengan kriteria kategori kedua pengeluaran i-Sinar KWSP manakala pemberian moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga kecil.
Justeru, Mohd Puad berkata, BN perlu lebih tegas melalui Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) jika kerajaan PN masih berdolak-dalik untuk menyelesaikan dua perkara utama yang dituntut pada Belanjawan 2021 itu.
"Datuk Seri Najib Pengerusi BNBBC berkata, akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji sehingga dua isu ini diselesaikan sepenuhnya.
"Najib jelaskan, Bajet terpaksa disokong kerana tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula. Jika bajet tidak lulus kerajaan sukar berfungsi untuk tempoh dua minggu lagi.
"Tetapi menurut Najib, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak," katanya.
Belanjawan 2021 diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu selepas undi belah bahagian dilakukan dengan 111 undi menyokong manakala 108 menolak.
Sumber Facebook drpuadzarkashi.official
#Mohd Puad Zarkashi #UMNO #Barisan Nasional #BN #Muhyiddin Yassin #sokongan #Politik Malaysia
;