Puad Zarkashi cabar Muhyiddin letak jawatan, tekan 'button'

Firdaus Azil
Mac 14, 2022 02:10 MYT
Mohd Puad (kiri) persoal maruah Muhyiddin (kanan) kerana berterusan menyerang UMNO, tetapi masih mahu berada dalam kerajaan yang dipimpin UMNO.
JOHOR BAHRU: Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewajarnya meletakkan sebarang jawatan yang dipegang dalam kerajaan, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Tambahan pula, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu, Muhyiddin sendiri mengakui sedia meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ekoran kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Katanya, maruah Muhyiddin perlu dipersoalkan kerana Ahli Parlimen Pagoh itu berterusan menyerang UMNO, tetapi masih mahu berada dalam kerajaan yang dipimpin UMNO.
“Muhyiddin sedia letak jawatan dalam parti kerana PPBM (Bersatu) kalah teruk di PRN Johor. Sepatutnya Muhyiddin dan menteri-menteri dari PPBM letak jawatan dalam kerajaan.
"Mereka berkempen secara habis-habisan. PPBM berbelanja besar. Termasuk sedia bas untuk mengangkut pengundi.
“Muhyiddin menyerang UMNO dan pemimpin UMNO dengan kasar. Justeru, bermaruahkah Muhyiddin dan menteri Bersatu terus kekal dalam kerajaan yang dipimpin oleh UMNO?” soal Mohd Puad menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.
Dalam PRN Johor Sabtu lalu, PN hanya memenangi tiga daripada keseluruhan 56 kerusi DUN, iaitu dua wakil Bersatu (DUN Bukit Kepong dan DUN Endau) dan seorang wakil Pas (DUN Maharani).
Pada sidang media PN susulan keputusan itu, Muhyiddin berkata, beliau sedia meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.
BACA: PRN Johor: Muhyiddin tidak perlu letak jawatan - Pas
TONTON: "Saya tekan button, semua jatuh"
Berdasarkan culaan semasa, keputusan PRN menunjukkan, PN berjaya mendapat tempat kedua dari segi bilangan undi populariti, iaitu 334,457 undi atau 24 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Dalam hantaran di media sosial tersebut, Mohd Puad seterusnya menyarankan Muhyiddin 'menekan butang' untuk melepas jawatan sekiranya beliau masih ada maruah diri.
"Tekanlah button jika bermaruah. Bangsa Johor tidak percaya kamu perihatin Bangsa Johor," katanya.
Istilah 'menekan button' itu bermula sewaktu PRN Melaka pada Nov 2021, sewaktu Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau boleh mengarahkan wakil rakyat dari PN untuk tarik sokongan dari Kerajaan Johor pimpinan Datuk Hasni Mohammad.
Sehingga kini, PN mempunyai 51 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
#Puad Zarkashi #Muhyiddin Yassin #letak jawatan #kabinet malaysia