PSB kata jangan terburu-buru adakan PRN Sarawak
Fadilah Sulaiman
Oktober 17, 2021 19:55 MYT
Oktober 17, 2021 19:55 MYT
KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) dan yakin akan dapat membentuk kerajaan baharu Sarawak kata Presidennya Datuk Seri Wong Soon Koh.
Pun begitu, beliau menekankan PSB tidak terburu-buru untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sebelum tamat tempoh darurat pada Februari 2022 demi keselamatan penduduk negeri itu ekoran pandemik COVID-19.
“Kami sudah bersedia, cuma kami mahu kerajaan sekarang menjaga nyawa rakyat terlebih dahulu dan bukannya menyegerakan pilihan raya.
“Sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakan PRN, kami sudah bersedia,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Ahad.
Malah Soon Koh turut menggesa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak mengadakan PRN-12 lebih awal atas faktor kes COVID-19 yang masih tinggi di negeri ini serta kemungkinan berlakunya peningkatan mendadak apabila kempen mula dilakukan seperti yang telah berlaku ketika PRN Sabah tahun lepas.
“Kerana pada masa itu saya harap ketika pilihan raya diadakan tidak akan terlalu banyak orang dari Semenanjung yang datang. Mereka pasti akan datang untuk berkempen dan sebagainya. Itulah masanya ramai orang dijangkiti.
“Kenapa nak tergesa-gesa? Mereka juga yang telah melancarkan Bajet 2022 lebih awal yang mereka katakan sudah dipersetujui. Jadi kenapa tergesa-gesa mahu mengadakan pilihan raya tidak lama lagi? Mereka boleh tunggu sehingga Darurat diangkat oleh Yang di-Pertuan Agong Februari kelak,” katanya lagi.
Senada dengan beliau Setiausaha Agung PSB, George Lo yang mendedahkan PSB bersedia dan telah memulakan proses pemilihan calonnya sejak tahun 2019, malah mereka juga sudah bergerak aktif di lapangan.