PSB bukan tandingan GPS - Masing
Astro Awani
Januari 22, 2021 13:20 MYT
Januari 22, 2021 13:20 MYT
KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanyalah parti baharu pada nama namun dibarisi pemimpin lama yang kecewa.
Demikian ulasan Presiden Parti Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang turut menepis andaian bahawa PSB bakal menjadi pencabar utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) terutama di kerusi majoriti etnik Iban.
“Kebanyakan mereka ini adalah ahli politik lama. Datuk Seri Wong Soon Koh telah menjadi Menteri Kewangan selama 30 tahun dan masyarakat boleh menilai apa yang beliau lakukan semasa memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan Dua.
“Jangan cakap apa yang boleh kamu lakukan tetapi tunjuk apa yang telah kamu lakukan,” kata Masing dalam temubual bersama Astro AWANI di pejabatnya, di sini.
Selain itu, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak secara sinis turut menyelar PSB sebagai sebuah parti politik yang hanya pandai menabur janji.
Tegasnya, rakyat Sarawak lebih bijak menilai dan mereka tidak mudah diperdaya.
“PSB ini sama macam parti politik lain yang mendakwa mereka bagus tetapi orang Sarawak akan tentukan sama ada mereka betul atau sebaliknya,” tambah Masing.
Untuk rekod PSB merupakan serpihan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak SUPP.
Parti itu kini dipimpin bekas Menteri Kewangan Dua Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh selaku presiden.
Selain Soon Koh ada lima lagi ADUN daripada PSB di DUN Sarawak. Mereka terdiri ADUN Opar, Ranum MIna, See Chee How (Batu Lintang), Johnical Rayong Ngipa (Engkili), Tiong Thai King (Dudong) dan Baru Bian (Ba'kelalan).
#Parti Sarawak Bersatu
#Gabungan Parti Sarawak
#James Jemut Masing
#Wong Soon Koh
#parti di Sarawak
#PRN Sarawak
#SUPP