PRU16: KJ dakwa ada unjuran ramal Ahmad Zahid jadi PM ke-11
Sinar Harian
Ogos 7, 2024 12:30 MYT
Ogos 7, 2024 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat satu unjuran yang meramalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri ke-11 sekiranya parti tersebut bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan mendominasi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Khairy berkata, menerusi unjuran yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki itu, jawatan Timbalan Perdana Menteri pula didakwa akan disandang oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merupakan Perdana Menteri ke-10 (PMX).
Menurutnya, andaian tersebut dibuat berdasarkan kemungkinan jika jumlah kerusi yang dimenangi oleh gabungan Barisan Nasional (BN)-PH itu menggunakan formula 1, 1.
“Dengan formula tersebut, jumlah kerusi PRU16 andaian BN-PH menggunakan formula 1, 1 adalah 182 kerusi daripada 222 kerusi.
“Dan paling menarik sekali, PKR 41 kerusi, DAP 40 kerusi dan UMNO 49 kerusi. UMNO 49 kerusi.
“Bermakna Datuk Zahid (jadi) Perdana Menteri, PMX (Anwar) (jadi) Timbalan Perdana Menteri,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap pada Selasa.
Dalam pada itu, Khairy turut mendakwa UMNO membuat unjuran itu bahawa mereka dijangka memenangi 49 kerusi Parlimen pada PRU16 iaitu penambahan daripada 26 kepada 49 kerusi.
Ujarnya, UMNO juga didakwa sedang giat melakukan jelajah untuk melembutkan akar umbi parti supaya menerima naratif iaitu dengan kerjasama BN-PH, UMNO boleh kembali ke tampuk pemerintahan kerajaan selepas PRU16 akan datang.
“Tetapi salah satu jelajah (UMNO) sedang berlangsung di mana Asyraf Wajdi sedang membentangkan satu unjuran dan unjuran ini dalam bentuk ‘slide’ (paparan) dan saya sedang tengok slide ini.
“Dia tambah bilangan kerusi tambahan (andaian BN-PH). Jadi andaian ini maksudnya penambahan, jika BN dan PH bekerjasama.
“Tetapi dia cakap kerusi tambahan yang boleh dimenangi kombinasi BN-PH adalah 34. Saya rasa dia menggunakan formula 1, 1,” ujarnya. - Sinar Harian