PRU16: Kerjasama BN-PH diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi

Sinar Harian
Julai 7, 2024 15:48 MYT
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ditemu bual pemberita selepas hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Keputusan berkenaan kerjasama Barisan(BN) dengan Pakatan Harapan(PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) hanya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) parti itu yang mana setiap keputusan dibuat adalah keputusan bersama.
"Saya yakin Presiden UMNO selaku Pengerusi BN akan membawa perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN kerana itu merupakan SOP kita.
"Jadi selagi belum ada mesyuarat daripada jawatankuasa tertinggi kepimpinan BN, banyak andaian boleh dibuat. Itulah yang menjadi sebagai dasar parti BN sama ada untuk hadapi pilihan raya atau apa jua dasar lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 di sebuah hotel dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16.
Menurutnya, mana-mana parti komponen BN yang mahu perkara terbabit diputuskan lebih awal, boleh membawanya untuk dibincangkan dalam mesyuarat.
"Terpulanglah kepada parti-parti kerana dalam BN, ahlinya bukan 'personal', ahlinya adalah parti. Partinya UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
"Jadi kalau ada parti nak membincangkannya bawa dalam mesyuarat. Tiada isu. Jadi kita boleh bincangkan dan boleh dapat keputusan lebih awal sama ada mahu bekerjasama atau tidak," katanya.
Tambahnya, ia juga dapat mengelakkan semua pihak terutama ahli parti itu daripada terus membuat spekulasi mengenainya.
"Daripada kita terus berspekulasi, lebih baik kita buat keputusan agar semua pihak dan ahli tidak terkeliru," katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#kerjasama BN PH #Mohamad Hasan #PRU16 #Barisan Nasional #Pakatan Harapan
;