PRU15: Zainal Azman calon MB Perak jika PH menang - Rafizi
Bernama
November 3, 2022 18:38 MYT
November 3, 2022 18:38 MYT
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman, adalah calon Menteri Besar Perak sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
"Ya, ya...Zainal Azman adalah calon MB bagi PH. Itu adalah perancangannya," kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Zainal Azman, yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Perak, dijangka bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.
PKR pernah memenangi kerusi Kuala Sepetang pada pilihan raya umum pada 2008 dan 2013, namun kalah kepada UMNO yang merampas semula kerusi itu pada PRU14.
-- BERNAMA