PRU15: Zahid yakin Perak menang sekurang-kurangnya 12 kerusi Parlimen

Bernama
Oktober 17, 2022 22:07 MYT
Ahmad Zahid berkata BN perlu menang 148 kerusi Parlimen untuk menjadi kerajaan dominan pada PRU15. - Gambar/ Bernama
BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Perak akan menyumbang sekurang-kurangnya 12 kerusi Parlimen, untuk gabungan itu membentuk kerajaan di peringkat Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata sumbangan kerusi dari negeri Perak selain kemenangan kerusi Parlimen lain dari seluruh negara itu, penting bagi memperkukuh prestasi BN pada PRU15 berkenaan.
"Kemenangan kita (Perak) sangat signifikan, begitu juga sumbangan negeri-negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap pada Jelajah Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Presiden MCA Mah Han Soon, Naib Presiden MIC T. Murugiah dan Ketua-ketua Bahagian UMNO seluruh negeri Perak.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN perlu menang 148 kerusi Parlimen untuk menjadi kerajaan dominan pada PRU15.
Justeru katanya jentera perlu bekerja keras termasuk menggunakan platform media sosial, bagi menangkis tohmahan pembangkang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata BN akan menampilkan 70 peratus calon muka baharu pada PRU15, sama seperti di pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Katanya, BN juga akan meletakkan 30 peratus calon wanita seperti yang diputuskan dalam resolusi parti pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyelar pihak-pihak tertentu yang dianggap jarum memecah belahkan hubungan beliau dengan Ismail Sabri.
"Kami dah kenal lama, kalau ada pun nasihat yang baik-baik, bukan jadi 'punahsihat'. Tidak ada orang PM, tidak ada orang Presiden, yang ada hanya orang BN," katanya.
Di majlis sama Ahmad Zahid turut menyerahkan watikah ikrar BN Negeri Perak kepada ketua-ketua bahagian parti komponen BN negeri Perak.
-- BERNAMA
#PRU15 #Zahid Hamidi #Perak #bentuk kerajaan
;