PRU15: Zahid jadi PM hanya mainan parti lawan - Ismail Sabri
Astro Awani
November 14, 2022 11:20 MYT
November 14, 2022 11:20 MYT
BERA: Parti lawan tiada modal politik dan terpaksa mengitar tohmahan kononnya Ahmad Zahid Hamidi bakal diangkat jadi perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRU15.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka menggunakan taktik berkenaan bertujuan mengelirukan pengundi meskipun tahu beliau satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan calon PM oleh UMNO dan BN.
“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kalangan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepimpinan BN dan UMNO berpecah.
"Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka menggunakan. Hanya menggunakan isu PM ini,“ kata Ismail dalam satu temu bual eksklusif bersama FMT.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata pembangkang juga menggunakan isu calon PM dalam cubaan terdesak menanam keraguan dalam kalangan pengundi terhadap kemampuan BN mewujudkan kestabilan – mesej utama gabungan itu dalam kempen pilihan raya.
Menyifatkan dakyah disebarkan itu sebagai tidak beretika, beliau berkata tohmahan itu juga bertujuan memecahbelahkan kepimpinan UMNO dan BN.
“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan (kemungkinan) saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN.
"Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi (kepada) BN,” tambah beliau.
Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail Sabri diumum sebagai “poster boy” BN dan calon PM PRU15.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera kesal cubaan pembangkang menidakkan keputusan di pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon perdana menteri.
“Keputusan untuk mencalonkan saya sebagai perdana menteri oleh BN telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO, biro politik UMNO, dan perhimpunan agung UMNO. Malah, disambut oleh parti-parti komponen (BN),” katanya.
“Seluruh kepimpinan BN, termasuk Pengerusi Zahid, Mohamad Hasan (timbalan pengerusi), dan lain-lain, jelas kata saya satu-satunya calon perdana menteri (BN),” kata Ismail Sabri lagi.
*Artikel eksklusif bersama FMT