PRU15: Young Syefura santuni penduduk Bentong, ikrar perjuang nasib mangsa banjir
Fareez Azman
November 7, 2022 13:19 MYT
November 7, 2022 13:19 MYT
BENTONG: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bentong, Young Syefura Othman bertekad untuk membela mangsa banjir di kawasan itu sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Menurut Young Syefura atau lebih mesra dikenali sebagai Rara, sejak dua hari berkempen, sudah ada mangsa banjir yang mendakwa tidak mendapat pembelaan setimpal oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Kata beliau, sejak PH mengumumkan calon-calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU15 bagi negeri Pahang, kesemua mereka telah menyantuni pengundi termasuk di DUN Bilut, DUN Ketari, DUN Sabai dan DUN Pelangai.
“Kami akan terus memanjangkan usaha ini, bergerak bersama-sama untuk memahami impian dan harapan mereka buat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang yang bakal dibentuk selepas PRU15.
“Antara aduan yang kami terima daripada penduduk adalah rintihan mereka berkenaan bantuan baik pulih rumah yang masih belum diterima,” jelasnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Young Syefura, biarpun bantuan telah dijanjikan kerajaan negeri, namun masih ada mangsa dakwanya yang belum menerima pembelaan sewajarnya.
“Biarpun bantuan ini telah dijanjikan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ada penduduk yang telah menunggu lebih 10 bulan tanpa sebarang khabar berita mengenai perkembangan bantuan ini.
“Selain itu, ada juga yang menyampaikan kepada kami bahawa bantuan yang diberikan tidak mencukupi berbanding kerosakan telah mereka alami,” jelasnya lagi.
Kenyataan media itu turut menyebut mangsa banjir menerusi Tawaran Harapan boleh mendapat bantuan sehingga RM50,000 bagi setiap rumah yang terkesan.
“Berbeza dengan Barisan Nasional yang jelas memandang remeh keperitan penduduk, kerajaan Harapan (sebaliknya) mengutamakan kesejahteraan rakyat dan akan menumpukan segala kudrat ke arah langkah pemulihan bencana, terutamanya bagi golongan terkesan.
“Dalam Tawaran Harapan kami bertekad untuk meningkatkan bayaran bantuan dengan mengikut nilai kerugian sehingga RM50,000 untuk setiap rumah yang terkesan akibat bencana bagi meringankan beban mereka,” katanya lagi.
Mengulas lanjut jelas Young Syefura, PH juga akan menambah baik sudut kesiapsiagaan banjir dan pengurusan bencana serta pemulihan pasca bencana di negara ini sekiranya diberi mandat.
“Jelas sekali, PRU15 ini bukan sahaja medan untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat dan berwibawa tetapi juga peluang untuk memilih kerajaan yang berfungsi dan mengambil berat tentang nasib dan kebajikan rakyat.
“Oleh itu, kami menyeru agar pengundi beramai-ramai turun mengundi pada 19 November ini untuk memenangkan calon-calon Harapan di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN agar kita boleh sama-sama merealisasikan tawaran-tawaran yang telah kita umumkan dalam Tawaran Harapan demi membina Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya lagi.
Young Syefura yang juga calon PH berentap dengan empat pesaingnya termasuk penyandang Parlimen Bentong, Wong Tack yang bertanding atas tiket bebas.
Manakala saingan sengit dari calon Barisan Nasional (BN) yang menurunkan bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai, Mohd Khalil Abdul Hamid (Bebas) dan Datuk Roslan Hassan dari Perikatan Nasional (PN).