PRU15: Young Syefura sah ke Bentong? DAP dijangka umum esok

Fareez Azman
Oktober 25, 2022 21:14 MYT
Nama Young Syefura dikatakan telah dipersetujui kepimpinan DAP untuk mempertahankan kerusi Bentong. - Gambar fail
KUANTAN: Desas-desus DAP bakal meletakkan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman bertanding di kerusi Parlimen Bentong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hampir pasti.
Menurut sumber parti itu ketika dihubungi Astro AWANI, nama Young Syefura atau turut dikenali sebagai Rara, telah dipersetujui kepimpinan parti itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
"Ya, tetapi pengumuman rasmi akan dibuat oleh parti esok," kata sumber DAP itu, secara ringkas.
Jika benar Young Syefura diletakkan sebagai calon di Bentong, beliau dijangka berdepan saingan sengit daripada bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dikatakan mahu merebut semula kerusi terbabit.
Untuk rekod, PRU14 lalu menyaksikan Liow yang hanya meraih 23,684 undi tewas kepada penyandang kerusi itu dari DAP, Wong Tack dengan majoriti 2,032 undi.
Dalam pada itu, sumber yang sama berkata, DAP Pahang juga dijangka melakukan rombakan calon di beberapa kerusi Parlimen lain bagi mewakili parti itu.
Antaranya Parlimen Lipis yang dikatakan akan diberi kepada penyandang Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
"DAP akan meletakkan penyandang DUN TRAS, Chow Yu Hui di Parlimen Raub untuk mempertahankan kerusi itu.
"Selain itu ada juga pertukaran calon di Lipis dan Cameron Highlands," kata sumber itu lagi.
Difahamkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan calon kerusi Parlimen negeri Pahang di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur esok.
Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini dari semasa ke semasa berhubung perkara ini.
#PRU15 #Young Syefura Othman #DAP Pahang #Raub
;