PRU15: Yang dulu palsu, yang ini palsu - Ahmad Maslan

Sinar Harian
Oktober 27, 2022 11:30 MYT
(kiri) Ahmad Maslan. Senarai calon BN Johor yang tular sejak Rabu disahkan palsu. -Foto Sinar Harian
PONTIAN: "Yang dulu palsu, yang ini (pun) palsu," demikian reaksi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung ketiadaan namanya dalam senarai calon BN Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tular sejak malam Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Pontian itu berkata, segalanya akan terjawab pada hari pengumuman calon BN Johor yang dijangka akan diadakan sebelum hari penamaan calon 5 November ini.
Jelasnya, perkara berhubung calon sudah diketahuinya, namun tidak boleh dikongsi atau diumumkan setakat ini
"Saya sudah tahu, tetapi tidak boleh umum," katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.
Sebelum ini, tular senarai calon BN Johor yang dikatakan bakal bertanding pada PRU15 di 26 Parlimen antaranya Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad di Parlimen Simpang Renggam dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian di Parlimen Pontian.
Kerusi Parlimen Pontian yang mempunyai dua DUN iaitu Benut dan Pulai sebelum ini hangat diperkatakan apabila Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian antara mengumumkan akan bertanding pada PRU15.
Bagaimanapun Hasni yang merupakan ADUN Benut masih berteka- teki berhubung kerusi bakal ditandingi namun timbul desas desus menyatakan dirinya bakal bertanding di Parlimen Pontian.
Kerusi Parlimen Pontian sebelum ini dimenangi Ahmad selama tiga penggal dan beliau menang majoriti tipis 833 undi dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU14. -Sinar Harian
#Ahmad Maslan #PRU15 #Calon PRU15 #calon BN Johor
;