PRU15: Yakin PM ambil kira semua faktor, langkah sebelum umum tarikh - Reezal Merican

Abd Razak Mohd Ali
September 25, 2022 19:45 MYT
Reezal Merican berkata tidak timbul soal PRU15 diadakan ketika banjir atau tidak, seperti yang dibimbangi banyak pihak. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: UMNO yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil kira semua faktor dan langkah sebelum mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengikut Perlembagaan, perkara itu akan dibawa kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, oleh itu, tidak timbul soal PRU15 diadakan ketika banjir atau tidak, seperti yang dibimbangi banyak pihak.
"Oleh kerana saya tak tahu bila nak banjir dan saya pun tak tahu bila nak pilihan raya, saya menganggap bahawa kita perlu berada pada tahap kesiapsiagaan untuk kedua-duanya.
"Sebab soal pilihan raya ini adalah soal tuntutan Perlembagaan dan soal keperluan untuk mengembalikan mandat daripada rakyat dan kalau kita lihat pada waktu sekarang, penggal 14 ini pun sudah menjangkau empat tahun lima bulan," katanya.
Beliau ditemui selepas menutup kursus PACABA UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak di Ipoh, pada Ahad.
Menurutnya, mengikut kelaziman, hampir 10 kali PRU dilaksanakan melepasi empat tahun lima bulan dan tidak ada yang cukup lima tahun.
Tambahnya, itu bermakna, PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, katanya, soal ada negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Dewan Rakyat, itu terserah kepada kerajaan negeri masing-masing.
Sebelum ini, beberapa buah negeri termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu membayangkan tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.
#PRU15 #ismail sabri yaakob #bubar parlimen #pilihan raya umum #Reezal Merican Naina Merican
;