PRU15: Wujudkan polisi pengambilan pekerja asing - Calon

Hilmi Malik
November 8, 2022 10:50 MYT
Aminolhuda Hassan berkata keadaan itu menyebabkan taburan golongan itu tidak terkawal. - Astro AWANI
BATU PAHAT: Kerajaan perlu mewujudkan polisi khas berhubung pengambilan pekerja asing di negara ini.
Mengambil contoh lambakan warga asing di Sri Gading, calon Pakatan Harapan (PH), Aminolhuda Hassan berkata keadaan itu menyebabkan taburan golongan itu tidak terkawal.
"Perlu ada sekurang-kurangnya garis panduan dan tahap pekerjaan tertentu, tahap gaji dan faedah perlu berbeza antara pekerja tempatan dan warga asing.
"Ini juga diamalkan di institusi pengajian tinggi misalnya di mana yuran pelajar tempatan jauh lebih murah daripada pelajar asing.
"Ini membuatkan sektor pekerjaan lebih menarik kepada anak tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, syarikat industri turut digesa mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding warga asing.
BACA: PRU15: Tarik pelaburan besar untuk cipta peluang pekerjaan berkualiti - Calon
Ini termasuk kawalan ketat terhadap kemasukan warga asing ke negara ini dari pelbagai aspek khususnya saringan kesihatan dan rekod jenayah.
"Kegiatan pekerja asing perlu pemantaun ketat termasuk dari segi jenayah, perumahan, penempatan dan perniagaan supaya tidak memberi ancaman dan menjejaskan peluang warga tempatan," ujarnya lagi.
Kawasan sekitar Sri Gading ketika ini seakan dimonopoli penduduk warga asing selain sebahagian besar daripada mereka telah menguasai pekerjaan di kawasan perindustrian.
Keadaan itu menyebabkan peluang pekerjaan anak muda tertutup dan terpaksa mencari pendapatan di luar kawasan.
#PRU15 #Malaysia Memilih #pekerja asing #Aminolhuda Hassan
;