PRU15: Wong Soon Koh mahu ke Dewan Rakyat, sedia rampas Parlimen Sibu

Shafik Ahmad
September 5, 2022 19:07 MYT
Sekiranya menang di Sibu, Wong Soon Koh yang kini berusia 80 tahun bakal membuat penampilan sulung di pentas Parlimen. - Foto BERNAMA
KUCHING: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh sedia untuk menjadi calon di kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelasnya keputusan itu dibuat sebagai memenuhi permintaan parti semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PSB di Ibu Pejabat PSB di Bawang Assan di sini pada Isnin.
“Kesemua ahli jawatankuasa pusat merasakan saya harus bertanding di kerusi Parlimen Sibu atas dua alasan.
“Pertama, mereka memikirkan bahawa saya merupakan calon boleh menang dan kedua, saya merupakan presiden parti yang harus memimpin PSB dalam pertandingan di peringkat Parlimen.
“Perkara ini saya akan pertimbangkan dengan serius,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kata Soon Koh, PSB kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU15 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun sebarang langkah persiapan akan ditentukan apabila tiba masanya.
“Perkara itu (perancangan) akan kita tentukan kelak, bila tiba masanya kita akan tahu apa yang akan dilakukan, namun kita (PSB) sudah bersedia,” katanya.
Kenyataan Soon Koh tersebut bakal menyaksikan pemimpin berusia 80 tahun itu membuat penampilan sulung di pentas Parlimen.
Soon Koh merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan selama tujuh penggal sejak September 1991 sehingga kini.
Menelusuri perjalanan politik Soon Koh, beliau bersama Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dari awal penglibatan politik sebelum mengambil keputusan untuk keluar parti dan menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) bersama bekas presiden Parti Rakyat Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom pada 2014.
Kurang daripada tiga bulan selepas pembentukan TERAS, Soon Koh sekali lagi keluar parti untuk menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang kini dijenama sebagai PSB pada tahun sama.
Pada ketika itu, UPP mengambil pendekatan mesra Barisan Nasional (BN) dan bertanding dalam pilihan raya negeri sebagai calon langsung atas tiket BN.
Beliau turut memegang beberapa jawatan utama dalam kabinet Sarawak termasuk Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang.
Bagaimanapun pada Julai 2019, Soon Koh meletak jawatan sebagai menteri kabinet sekali gus menandakan PSB bergerak secara bebas dalam landskap politik negeri Sarawak.
#PRU15 #Wong Soon Koh #PSB #Parlimen Sibu
;