PRU15: 'Welcome'! Kami alukan Khairy bertanding di Alor Setar - Yusof Ismail

Abd Hadi Che Awang
September 24, 2022 14:58 MYT
Mohd Yusof menjelaskan, ketokohan Khairy yang dianggap sebagai aset penting masa depan negara menjadi kelebihan besar untuk UMNO dan BN. - Gambar fail
ALOR SETAR: UMNO Bahagian Alor Setar sentiasa terbuka dan mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sekiranya Menteri Kesihatan itu memutuskan untuk bertanding di Parlimen Alor Setar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd Yusof Ismail, menjelaskan ketokohan yang ada pada Khairy yang turut dianggap sebagai aset penting masa depan negara menjadi kelebihan besar untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali merampas Parlimen berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).
"Saya ada dengar juga KJ (Khairy) nak mai (mahu datang) bertanding di (Parlimen) Alor Setar dan saya amat mengalukan, perkara yang paling penting adalah UMNO yang bertanding. Siapa calon itu saya sentiasa 'open' sebab saya orang meniaga, politik nombor dua, meniaga nombor satu
"(Tetapi) kalau ada calon, contohnya macam KJ, (itu memang kelebihan untuk kita sebab) dia aset negara. Kalau dia bersetuju untuk datang bertanding di (Parlimen) Alor Setar, 'welcome', kita memang alukan. Jadi kita pun boleh bernaung di bawah payung yang besar," ujar beliau.
Mohd Yusof berkata demikian ketika sidang media selepas Program Ramah Mesra dan Jualan Harga Patut peringkat Parlimen Alor Setar di Shahab Perdana pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan telah mengadakan berbincangan dengan Khairy berhubung perkara berkenaan.
Jelasnya, pelawaan daripada UMNO Alor Setar dibuat memandangkan keluarga Ahli Parlimen Rembau itu juga berasal dari kawasan Parlimen itu.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat juga kemungkinan Menteri Kesihatan itu menolak pelawaan berkenaan dan kekal bertanding di Negeri Sembilan.
"(Saya) ada (berhubung dengan KJ) dan berbincang sedikit sebanyak. Saya (sangat) welcome, saya kata, 'boss' kalau you fikir sesuai, saya setuju sahaja. Saya pun memang menjemput dia, sebab dia pun dengan Kedah bukanlah lari banyak. Emak dia pun orang sini, orang Alor Setar, jadi dia kalau tak ada tempat lain, (boleh bertanding di sini).
"Tetapi mungkin dia tak mai kot, jauh... Mungkin dia selesa di Negeri Sembilan. Ramai juga bagi dia tawaran sebab dia aset negara dan kita perlukan dia pada masa depan," ujarnya.
Terdahulu, selepas mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15) untuk memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, Khairy mengakui beliau bimbang memikirkan masa depan kerjaya politiknya.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, sehingga sekarang beliau masih belum mempunyai kawasan untuk bertanding dalam PRU yang akan datang.
Sebelum ini, Khairy secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada PRU15 kelak.
Tambahnya, adalah tidak mustahil untuk perkara itu berlaku kerana ibunya berasal dari Kedah.
#Khairy Jamaluddin #Alor Setar #Calon PRU15 #Mohd Yusof Ismail
;