PRU15: Wee Ka Siong anggap kerusi Parlimen Ayer Hitam sudah sebati dengan dirinya

Bernama
November 13, 2022 17:23 MYT
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menganggap kerusi Parlimen Ayer Hitam sudah sebati dengan dirinya selepas empat penggal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
BATU PAHAT: Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menganggap kerusi Parlimen Ayer Hitam sudah sebati dengan dirinya selepas empat penggal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.
Justeru, Menteri Pengangkutan yang menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 2004 yakin kenalan dan rakan di Ayer Hitam akan membantunya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Menurut Wee, beliau akan berjuang berhabis-habisan untuk mengekalkan kerusi tersebut di tangan Barisan Nasional (BN) dan akan terus 'bekerja' dengan berkempen untuk meyakinkan rakyat kerana BN adalah pilihan yang terbaik untuk mereka.
"Nampaknya penerimaan masyarakat di sini (Ayer Hitam) sangat baik, respons juga menggalakkan terutama daripada 'kenalan' yang telah mengharungi susah senang bersama-sama.
"Saya yakin kelebihan ada pada kita (BN) yang telah lama bersama mereka (pengundi) dan telah mengetahui keperluan mereka di sini," katanya kepada Bernama di program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di sebuah pasar raya di Yong Peng, dekat sini hari ini.
Wee berharap agar momentum sokongan yang padu daripada setiap kenalannya itu akan dapat diteruskan dalam tempoh seminggu lagi, sekali gus dapat diterjemah dalam bentuk undi pada hari pengundian Sabtu depan.
Wee merupakan satu-satunya calon daripada parti MCA yang memenangi kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Parlimen Ayer Hitam mempunyai 61,051 pengundi merangkumi 35,208 pengundi Melayu, pengundi Cina (22,610), pengundi India (2,521) manakala bakinya daripada lain-lain.
Pada PRU15 ini, Wee ditentang calon daripada Pakatan Harapan Sheikh Umar Bagharib Ali dan Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A. Aziz.
Sementara itu, Wee berkata program JMKM membantu meringankan beban rakyat kerana harga barangan keperluan yang dijual lebih rendah berbanding harga biasa.
"Saya yakin ia dapat membantu rakyat di sini, difahamkan untuk jualan kali ini, lebih 6,000 barangan keperluan seperti minyak masak, gula dan tepung dijual pada harga yang rendah bertujuan meringankan beban rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Wee Ka Siong #PRU15 #calon BN Parlimen Ayer Hitam #Presiden MCA
;