PRU15: Wartawan, suami selesai undi awal bersama

Hasimi Muhamad
November 15, 2022 13:16 MYT
Norasikin Daineh (kanan) bersama suaminya, Sarjan Asmin Sanuen turut membawa anak lelaki mereka ketika hadir di Kem Lok Kawi untuk melaksanakan undi awal, hari ini. - Gambar Astro AWANI
PUTATAN: Di sebalik kesibukan menjalankan tugas sebagai wartawan, Norasikin Daineh, 36, tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Pusat Mengundi Awal di Kem Lok Kawi, di sini.
Lebih mengujakan, Norasikin yang berpengalaman selama 11 tahun dalam bidang kewartawanan buat pertama kali mengundi bersama suaminya, Sarjan Asmin Sanuen, 37, di pusat mengundi berkenaan.
Menurut wartawan akhbar Sinar Harian itu lagi, kerana komitmen tugas, dia perlu merancang masa sebaik mungkin bagi memastikan tugasan dapat diselesaikan terlebih dahulu.
"Kalau diikutkan agak kelam-kabut sedikit sebab kita nak selesaikan dulu tugasan yang diberikan oleh ibu pejabat untuk membuat laporan dan kemudian baru tunaikan tanggungjawab.
"Seawal 6.30 pagi saya sudah berada di sini untuk menjalankan tugas-tugas tinjauan dan temu ramah beberapa anggota di sini," katanya yang sebelum ini mengundi di Parlimen Sipitang.
Kem Lok Kawi yang terletak di bawah Parlimen Putatan menyaksikan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahelmey Yahya; Pakatan Harapan (PH), Awang Husaini Sahari; Parti Warisan (Warisan) Ahmad Mohd Said dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) PoyneTudus @Patrick Payne.
BACA: PRU15: Teruja bawa bayi bersama keluar mengundi
Sementara itu, suami Norasikin, Asmin yang bertugas di Stesen Bomba Tentera Darat Kem Lok Kawi mengakui, pengalaman mengundi awal bagi PRU15 ini berbeza kerana dapat hadir bersama isteri.
Asmin yang telah berkhidmat selama 14 tahun menambah, selain mahu menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, dia juga teruja kerana dapat melihat sendiri Norasikin bertugas sebagai pengamal media.
"Ini kali pertama saya bersama keluarga dan isteri saya mengundi di sini (Kem Lok Kawi) sebab sebelum ini saya mengundi di sini sebagai seorang anggota bujang.
"Selepas berkahwin, ini kali pertama isteri saya mengundi di sini sebab sebelum ini isteri mengundi di Parlimen Spitang," ujarnya yang sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Dianggarkan seramai 2,900 anggota tentera dan pasangan akan mengundi awal di Kem Lok Kawi, yang merupakan salah satu pusat Mengundi Awal yang dibuka di Sabah.
#Undi awal PRU15 #Wartawan selesai undi awal #Parlimen Putatan #PRU15
;