PRU15: Warisan kenal pasti lima kerusi Parlimen di Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 15, 2022 16:34 MYT
Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi berkata, kawasan Parlimen yang dikenal pasti ialah Alor Setar, Pokok Sena, Sungai Petani, Merbok, dan Padang Serai. - Gambar fail
ALOR SETAR: Parti Warisan mengenal pasti lima kerusi Parlimen di Kedah untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi berkata, kawasan Parlimen tersebut ialah Alor Setar, Pokok Sena, Sungai Petani, Merbok, dan Padang Serai.
“Warisan negeri telah menghantar semua senarai nama individu yang dirasakan layak untuk bertanding di kawasan tersebut kepada Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk dinilai.
“Hanya satu nama dihantar bagi setiap kawasan Parlimen manakala selebihnya terpulang kepada penilaian Presiden sama ada calon tersebut layak atau perlu digantikan dengan individu lain,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, calon-calon berkenaan bukan hanya terdiri daripada golongan profesional, bergelar atau berpangkat semata-mata, sebaliknya Warisan Kedah mengutamakan calon yang mudah diterima rakyat serta rajin turun padang.
Menurut beliau, pemilihan untuk bertanding di kelima-lima kawasan Parlimen itu dibuat bersandarkan kepada aktiviti serta kemampuan Ketua Bahagian masing-masing untuk mengadakan program mendekati pengundi.
#PRU15 #Warisan Kedah #kerusi Parlimen #Fadzil Hanafi
;