Menurut Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, pihaknya sedar bahawa fokus untuk memenangkan parti ketika ini lebih menjadi keutamaan.
Bagaimanapun, janji itu akan terus dituntut khususnya melihat kepada beberapa negeri yang masih belum dibubarkan.
"Masih terdapat enam negeri yang masih berbaki, belum dibubarkan lagi.
"Saya dan kepimpinan Wanita BN akan terus tuntut supaya lebih ramai calon-calon wanita dapat diketengahkan dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya lagi, pihaknya akan memastikan hasrat itu mampu dicapai selari kehendak parti sebelum ini yang ingin menonjolkan lebih ramai golongan wanita.
Sebelum ini, majoriti pimpinan parti politik meletakkan komitmen untuk memberi laluan lebih ramai calon golongan wanita untuk berada di pentas PRU15.
Perkara itu sebelum ini turut disuarakan penyandang Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid yang tidak berpuas hati mengenai kuota calon daripada Pergerakan Wanita UMNO.
Mastura antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang digugurkan sebagai calon PRU15 sejurus selesai Pengumuman Calon BN yang bakal bertanding dalam PRU15.