PRU15: Wan Saiful kecewa pihak lawan edar kain rentang, risalah provokasi
Dewi Nur Harasha Alias
November 19, 2022 17:08 MYT
November 19, 2022 17:08 MYT
TASEK GELUGOR: Calon Perikatan Nasional (PN) Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak lawan mengedar risalah dan menggantung kain rentang bersifat provokasi pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Wan Saiful, perbuatan itu disedari pihaknya sejak semalam (Jumaat) apabila menemui risalah-risalah yang sengaja ditampal di tempat-tempat awam selain bertaburan di jalan raya.
Malah, katanya, risalah serta kain rentang bersifat provokasi dengan kandungan yang negatif turut diedar di lokasi berhampiran pusat-pusat pengundian termasuk di beberapa masjid di sekitar Parlimen itu.
“Saya hendak melahirkan sedikit rasa kecewa saya sebab pagi tadi sebelum pusat pengundian dibuka, apabila saya keluar dari rumah, di beberapa lokasi saya mendapati ada beberapa kain rentang dan poster-poster serta risalah yang ditampal dan diedar di merata tempat dan ada yang sengaja ditabur di jalan raya.
“Bagi saya dalam pilihan raya ini biarlah kita bersaing dan bertanding dengan cara yang sihat. Elemen provokasi, fitnah dan menuduh perkara yang bukan-bukan ini bagi saya perkara lama yang diamalkan oleh parti-parti tertentu.
“Mereka tak boleh ‘move on’ kepada era politik yang baharu, yang mana kita mahukan politik yang matang, yang berbahas tentang dasar dan bercakap tentang apa yang kita tawarkan, bukan dengan cara mengecam apatah lagi menyebar fitnah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Wan Saiful berkata, pihaknya mengetahui dalang di sebalik perbuatan tersebut dan menyifatkan tindakan pihak terbabit sebagai tindakan terdesak yang bermatlamat ingin memecahbelahkan hubungan antara parti Bersatu dan Pas.
Berikutan itu, pihaknya akan membuat laporan berhubung perkara itu dan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab.