PRU15: Wan Rosdy sedia pertahan kerusi DUN Jelai

Astro Awani
Oktober 17, 2022 20:26 MYT
Wan Rosdy berkata, BN Pahang belum memuktamadkan senarai calon dan masih menunggu hasil mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadualkan pada 20 Oktober ini. - Gambar fail
KUANTAN: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengesahkan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Jika pucuk pimpinan memberi keizinan, beri peluang untuk bertanding, saya akan mempertahankan DUN Jelai," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) 2022 di Kuantan, petang tadi.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang menyandang kerusi DUN Jelai selama empat penggal sejak 2004 berkata, rekod kemenangannya pada setiap pilihan raya mencatatkan peningkatan majoriti.
"Kalau tidak percaya boleh melihat kepada rekod lampau. Tiada janji, lihat bukti. Rekod lampau ini penting, jadi rakyat perlu melihat rekod ini, jangan dengar fitnah, janji palsu kerana itu belum terjadi," kata beliau lagi.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, BN Pahang belum memuktamadkan senarai calon dan masih menunggu hasil mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadualkan pada 20 Oktober ini.
"Senarai nama adalah dibincang-bincangkan namun senarai belum lagi muktamad jadi macam mana nak di serah.
"Saya juga nak beritahu akan berlaku setiap pilihan raya tentulah akan berlaku perubahan maknanya tidak seratus peratus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekarang ini akan kekal, mesti ada perubahan.
"Kali ni saya dapati ada kombinasi yang lama yang, pertengahan lama dengan muda... ada kombinasi semua sebab adanya yang muda kerana ada yang lama," katanya.
Beliau juga menjelaskan setiap calon ditampilkan UMNO dan BN perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan tapisan.
#PRU15 #Wan Rosdy Wan Ismail #pertahan kerusi #DUN Jelai
;