PRU15: Wan Azizah menang kerusi Bandar Tun Razak

Bernama
November 19, 2022 04:30 MYT
Wan Azizah memperoleh 43,476 undi pada PRU kali ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 undi selepas menewaskan dua pencabarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen berkenaan Mohamad Hamim berkata Wan Azizah menewaskan pesaingnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua MCA Bandar Tun Razak Datuk Chew Yin Keen (Barisan Nasional).
Mohamad mengumumkan keputusan itu di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL (IDB) di sini hari ini.
Bagaimanapun, tiga calon itu tidak hadir di pusat penjumlahan undi.
Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, memperoleh 43,476 undi manakala Kamarudin 33,659 undi dan Chew 15,886 undi.
Seramai 119,185 pemilih layak mengundi di Parlimen Bandar Tun Razak dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 78.74 peratus manakala undi ditolak sebanyak 572.
Pada PRU14, Wan Azizah yang memegang jawatan timbalan perdana menteri pada 2018 hingga 2020, memenangi kerusi Parlimen Pandan dalam pertembungan lima penjuru dengan memperoleh 64,733 undi.
-- BERNAMA
#Wan Azizah Wan Ismail #PRU15 #Parlimen Bandar Tun Razak #Pakatan Harapan
;