PRU15: Verdon Bahanda sahkan bertanding di Parlimen Kudat atas tiket Bebas
Assim Hassan
November 3, 2022 16:54 MYT
November 3, 2022 16:54 MYT
KUDAT: Aktivis Orang Asal Sabah, Datuk Verdon Bahanda mengumumkan akan bertanding di Kerusi Parlimen P167 Kudat sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Verdon dalam sidang media di Kampung Tanjung Kapor, Kudat berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi pilihan kepelbagaian sekali gus menambah baik mutu semua calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.
Menurutnya, kehadiran beliau sebagai calon diharap tidak dilihat sebagai ancaman kepada sesiapa tetapi lebih kepada satu perlawanan persahabatan dengan calon-calon lain.
"Tujuan saja bertanding bukan untuk menghuru-harakan keadaan tetapi sebenarnya lebih kepada memberi pilihan kepelbagaian dalam pilihan raya kali ini.
"Saya harap ini adalah pertandingan yang sihat dan saya berharap dalam kita berpolitik sekali pun, kita perlu menjaga keharmonian dan kesepaduan kawasan kita," katanya.
Selain itu Verdon menjelaskan di hadapan puluhan penduduk Kampung Tanjung Kapor bahawa selaku calon Bebas, beliau akui banyak kekurangan berbanding calon yang bertanding atas tiket parti politik.'
Hal ini jelasnya kerana calon-calon itu mempunyai dokongan dan pertolongan daripada parti masing-masing.
"Cuma apa yang boleh saya tawarkan adalah keikhlasan dan kejujuran saya selain ketegasan untuk mempertahankan terutama sekali hak-hak masyarakat di Kudat," katanya.
Sebelum ini nama Verdon disebut-sebut akan bertanding di Parlimen P167 Kudat.
Dengan pengumuman itu, Verdon bersama abangnya, Datuk Wetrom Bahanda yang bertanding di Parlimen Kota Marudu atas tiket Parti KDM.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Kudat dimenangi calon Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahim Bakri dengan majoriti 1,359 menewaskan calon Warisan Sh Azman Sh Along dan calon PPRS, Mohd Ashraf Chin Abdullah.i