PRU15: Ustaz Kazim calon BN di Larut?

Ridauddin Daud
November 1, 2022 11:24 MYT
Khabar angin tersebut dikuatkan lagi dengan penularan Sekeping gambar Ustaz Kazim yang sedang memegang plakad tertulis, P056 kerusi Parlimen Larut. - Gambar fail
LARUT: Kejutan demi kejutan dijangka menyelubungi senario politik di Perak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kali ini ia melibatkan kerusi Parlimen Larut pula.
Difahamkan, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias bakal dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi berentap di kerusi Parlimen Larut dalam PRU15.
Sekiranya ia menjadi realiti, keputusan itu menyaksikan Mohd Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim dijangka akan menentang Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang kini merupakan penyandang kerusi Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pemilihan Ustaz Kazim, 50, itu dikatakan dibuat bukan hanya kerana popularitinya sebagai tokoh agama dan pelakon tetapi juga kerana pengaruh besar dibawa beliau kepada negeri Perak.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Khabar angin tersebut dikuatkan lagi dengan penularan sekeping gambar Ustaz Kazim yang sedang memegang plakad tertulis, P056 kerusi Parlimen Larut.
Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, abang kepada Ustaz Kazim, Ahmad Hasbullah Elias ketika dihubungi mengesahkan adiknya itu bakal diumumkan sebagai calon BN di Parlimen Larut.
Katanya, ketika ini beliau dan Ustaz Kazim berada di Kuala Lumpur untuk mengikuti pengumuman calon BN.
Pada PRU14 lalu, Hamzah memenangi kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.
Selepas itu, beliau keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.
#Calon PRU15 #Ustaz Kazim Elias #Parlimen Larut #PRU15