PRU15: Usia 80 tahun, Presiden PSB berdepan saingan tiga penjuru di Parlimen Sibu

Nuzuluddin Abdul Razak
November 5, 2022 09:55 MYT
Setelah menang di DUN Bawang Assan, Wong Soon Koh (kiri) dalam misi menawan kerusi Parlimen Sibu yang kini disandang Oscar Ling daripada DAP. - Astro AWANI
SIBU: Kawasan Parlimen Sibu kembali mencatatkan pertembungan tiga penjuru antara Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selaku penyandang (DAP), Oscar Ling, 45 tahun, tampil dengan sejarah kemenangan yang cemerlang pada PRU14 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wong Kee Yew dengan majoriti 11,422 undi.
Sementara itu, bagi mencapai hasrat GPS untuk memenangi semua 31 kerusi parlimen di Sarawak, parti kerajaan negeri itu meletakkan harapan besar di bahu Clarence Ting Ing Horh, 63 tahun.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) ini bukanlah wajah baharu buat masyarakat Sibu malah telah berkhidmat di MPS sejak 2019 sehingga kini.
Bagi menambah persaingan, Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, 80 tahun, juga menambah senarai pembangkang di kerusi tersebut.
Biarpun Soon Koh berjaya menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan pada pilihan raya negeri yang lalu, sokongan daripada ahli parti mendorong bekas Menteri Kewangan II Sarawak itu untuk meneruskan perjuangan PSB di dalam Dewan Rakyat.
Beliau telah memegang DUN Bawang Assan selama tujuh penggal sejak September 1991 serta satu-satunya pembangkang di bawah Parlimen Sibu selain DUN Palawan dan DUN Nangka.
Kesemua calon tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) Kompleks Islam Sibu sebelum jam 9 pagi bersama seorang pencadang dan penyokong.
Parlimen Sibu kali ini mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 105,875 pemilih berdaftar berbanding lebih 74,000 pada PRU14, tahun 2018 lalu dengan lebih 65,000 adalah pengundi berbangsa Cina.
Komposisi ini merangkumi lebih 23,150 orang pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun dan 6,613 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.
Kawasan Parlimen Sibu mula dipertandingkan pada tahun 1978 pada PRU ke-5 yang dimenangi oleh bekas Presiden SUPP dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri Dr. Wong Soon Kai.
Bagaimanapun selepas sembilan kali pilihan raya umum, kawasan Parlimen Sibu berjaya ditakluki Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada tahun 1982, 2010, dan 2013 hingga kini.
#PRU15 #Wong Soon Koh #Clarence Ting Ing Horh #Oscar Ling
;