PRU15: Usaha bentuk kerjasama tunjuk perkembangan memberangsangkan - Muhyiddin
Hasimi Muhamad
April 24, 2022 21:27 MYT
April 24, 2022 21:27 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan pertemuan dengan parti lain dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihak terbabit juga menyatakan kesediaan dalam mengadakan perbincangan, yang digambarkan akan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak memperincikan parti yang terlibat dalam kerjasama itu.
“Cuma kami belum selesai cara macam mana dalam bentuk persefahaman untuk mengelakkan pertembungan. Itu yang saya sebutkan tadi (dalam ucapan).
“Kami siap (bekerjasama) dengan mana-mana pihak pimpinan parti yang berfikir ada baik dan rasa bekerjasama (adalah inisitif yang) betul.
“Memang betul saya fikir kalau ada perbezaan itu adalah... tetapi (ia demi) untuk membentuk sebuah kerajaan yang boleh menjamin masa depan negara yang lebih baik dan tak boleh membiarkan kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku hari ini terus ada di situ,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Muhyiddin meluangkan masa berbuka puasa bersama Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Menara PGRM di sini.
Hadir sama, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berharap pemimpin parti berkenaan juga berfikiran sama dengan Bersatu.
Jelas beliau lagi, ini bukan pertama kali Bersatu mengamal sikap terbuka untuk membentuk kerjasama dalam pilihan raya.
Sementara itu, Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan berkata, kerjasama antara parti penting untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
“…. dan mereka juga tahu, kalau tidak ada gabungan antara parti-parti, maka undi akan berpecah.
“Walaupun BN dan UMNO bukan parti yang orang kata berpengaruh seperti dahulu lagi dari segi sokongan tetapi mereka parti yang mempunyai jumlah besar sikit daripada kita.
“Jadi perlu kita perhalusi, sebab itu kita perlu sikap keterbukaan kita. Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam negara kita untuk mencari jalan dan formula yang memberi untung-untung supaya kita akhirnya berhadapan dengan pilihan raya ini menentang BN satu lawan satu, dan akhirnya kita beroleh kemenangan besar, Insya-Allah,” katanya lagi.