PRU15: Untuk bawa perubahan, perlu libatkan diri dalam proses demokrasi
Israr Khalid
Oktober 14, 2022 23:32 MYT
Oktober 14, 2022 23:32 MYT
KUALA LUMPUR: Janganlah menghindarkan diri daripada proses demokrasi hanya kerana marah atau kecewa terhadap kecurangan oleh para pemain politik di pentas itu.
Sebaliknya, tegas Ketua Penerangan ARMADA Nasional, Ashraf Mustakim, libatkanlah diri untuk mengubah keadaan tersebut, tidak kisah dari penjuru mana sekalipun.
Ini kerana jelas beliau, perubahan itu tidak boleh dijayakan dari satu pihak tetapi perlu digerakkan bersama dari segenap belahan, walaupun berbeza ideologi, tetapi tetap mendukung cita-cita sama demi negara yang lebih sejahtera.
“Serangan untuk membuat perubahan haruslah dari segenap penjuru, kita perlu ada di segenap belahan.
“Di tanah air kita ini baru sekali berlaku perubahan kerajaan selepas 60 tahun, bayangkan di segenap belahan dunia yang lain yang telah mengalami pendemokrasian yang lebih rencam.
“(Apa yang berlaku selepas PRU14) biarpun ada yang mengatakannya sebagai kecurangan demokrasi, kita tak boleh mengalah wahai anak muda, kita perlu bangkit di setiap peringkat untuk bawa idea-idea yang baharu,” katanya ketika menjadi tetamu program Dialog Anak Muda bertajuk 'PRU15: Gelombang Anak Muda'.
Ashraf berkata, kesedaran untuk bangkit itu juga datang dari kecaknaan terhadap sistem demokrasi itu sendiri, namun perlu diakui ia tidak meluas dalam kalangan rakyat negara ini khususnya generasi muda.
Ia terlihat dengan betapa rendahnya peratusan keluar mengundi dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu biarpun ketika itu Undi18 sudah dikuatkuasakan.
Maka oleh hal yang demikian, pendidikan terhadap demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan itu perlu diberi perhatian serius, sepertimana yang disuarakan oleh Ketua Biro Pendidikan Putera MIC Kebangsaan, Danesh Raj.
“Saya rasa sudah sampai masa di sekolah dan universiti perlu ada subjek teras yang membicarakan tentang Perlembagaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, adalah hak kita untuk mengetahui dan mengamalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan memberikan pendapat jika perlu ada pindaan,” katanya.
Benar, mungkin tidak ramai anak muda akan berminat dengan subjek itu tetapi andai tidak diberi pendedahan dan pendidikan awal, masalah yang kita hadapi hari ini tidak akan berkesudahan.