PRU15: Undi GPS untuk Sarawak makmur, stabil, maju - Abang Johari

Shafik Ahmad
November 17, 2022 05:58 MYT
Abang Johari berkata, GPS ikhlas dan komited dalam perjuangannya serta memahami aspirasi dan kehendak rakyat. - Foto ihsan GPS
KUCHING: Hanya dengan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat menjadi suara yang kuat untuk didengari di Parlimen.
Malah, ia akan terus menyalakan obor perjuangan bagi menuntut dan mempertahankan hak Sarawak, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menerusi satu surat rayuan kepada pengundi Sarawak semalam, beliau berkata, GPS ikhlas dan komited dalam perjuangannya serta memahami aspirasi dan kehendak rakyat.
“Esok, 19 November 2022 kita akan membuat pilihan penting. Masa depan Sarawak yang lebih cerah dan gemilang di tangan kita semua.
“Hanya kemenangan besar GPS dapat menjamin suara kita kuat di Parlimen untuk terus menyalakan obor perjuangan bagi menuntut dan mempertahankan hak Sarawak.
“Kerajaan GPS berjaya melaksanakan 120 dasar dan inisiatif termasuk bantuan meringankan beban rakyat ketika COVID-19 melanda,” katanya, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.
Selain itu, katanya, keutamaan GPS adalah mengatasi krisis terbesar susulan wabak COVID-19 dan menyelamatkan semua rakyat dari segi kesihatan, ekonomi dan pekerjaan.
“Rakyat sentiasa di hati Kerajaan GPS.
“Kerajaan GPS akan terus prihatin dan mengambil berat nasib golongan B40, M40, golongan muda, pelajar, pekerja, peniaga, warga emas, OKU, penjawat awam, malah seisi keluarga dan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“lni aku janji dan komitmen kami. GPS mempunyai rekod cemerlang dan telah membuktikan keupayaannya memimpin,” katanya.
Dalam surat sama, Abang Jo turut mengimbau kembali pengalaman 22 bulan sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU ke-14 lalu.
“Masihkah anda ingat sikap tidak adil Kerajaan PH kepada Sarawak ketika memerintah 22 bulan?
"PH tidak pedulikan nasib dan masa depan kita. PH membatalkan banyak projek untuk kesejahteraan kita semua. Banyak janji PH gagaI ditunaikan.
"Jadi, ingatlah pesan orang tua-tua. Jangan pisang berbuah dua kali dan jangan sampai nasi menjadi bubur,” tegasnya.
Beliau merayu agar rakyat terus berdiri di belakang GPS dengan memberikan undi kepada gabungan itu seperti yang diterjemahkan semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak pada Disember 2021.
“Undi untuk GPS ialah undi untuk Sarawak yang stabil, maju dan makmur.
“Ayuh, sama-samalah kita undi GPS untuk menjamin kehidupan kita, masa depan kita dan anak cucu kita yang lebih baik. Sayangi dan cintailah Sarawak,” katanya.
#Abang Johari Tun Openg #pengundi Sarawak #PRU15 #GPS
;