PRU15: Uncle Kentang mahu ubah minda rakyat terhadap 'calon tanpa beban politik'
Rahimah Abdullah
November 13, 2022 20:07 MYT
November 13, 2022 20:07 MYT
PUCHONG: Calon bebas di Puchong, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bersedia dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana bersaing dengan pihak lawan yang hebat dalam politik.
Namun, jelas aktivis kemanusiaan itu, penyertaan beliau sekurang-kurangnya membuka jalan kepada perubahan minda rakyat bahawa calon tanpa parti politik juga mampu membawa suara mereka dan memimpin negara.
"Saya dilahirkan di Malaysia, dan saya rasa terhutang pada Malaysia. Di mana kita kena bersuara, untuk membawa perubahan. Mungkin kali ini kita akan tewas.
"Tidak mengapa kerana kita telah buka satu jalan di mana perubahan minda iaitu bukan sahaja parti politik mewakili mereka, tetapi individu yang tidak ada beban politik harus masuk parlimen boleh memimpin negara berbanding mereka yang berparti politik.
"Saya rasa kalau saya 'dibaham' pun, saya telah membuka jalan kepada calon-calon (bebas) lain pada PRU lain supaya masuk ke dalam PRU akan datang," katanya kepada Astro AWANI semasa berkempen di Medan Selera MPSJ Puchong Perdana di sini pada Ahad.
Kata Uncle Kentang, beliau berhasrat untuk menubuhkan pusat perkhidmatan kecemasan yang sedang dilakukannya di The Mines, Seri Kembangan khusus untuk kawasan Balakong, Sri Serdang dan Seri Kembangan.
Selain itu, beliau juga mahu mewujudkan kelas tadika percuma untuk semua bangsa memandangkan masih ramai kanak-kanak yang tercicir dalam pendidikan awal di Puchong.
Aktivis kemanusiaan itu turut memberi jaminan jika diberi peluang pada PRU15, beliau akan sentiasa dekat dengan pengundi dan bukan hanya muncul apabila tiba musim pilihan raya.
Beliau juga mahu menerapkan semangat Rukun Negara di kalangan masyarakat.
"Saya sedih kerana saya lihat ramai hafal Rukun Negara tetapi tidak menghayati dan mempraktisnya," tambah beliau.
Dalam pada itu, Uncle Kentang memilih untuk berkempen dengan memberikan nombor telefon bimbitnya kepada pengundi.
"Saya nak semua berfikir sejenak. Kalau ada bakal YB tidak berani nak beri nombor telefon, adakah kamu nak percaya dengan dia? Kalau sekarang dia tak berani nak bagi nombor telefon, apatah lagi bila dah jadi YB nanti.
"Ada orang tanya saya kenapa saya gila nak bagi nombor telefon , saya nak kata satu sahaja, kalau kita permudahkan urusan orang lain, tuhan akan permudahkan urusan kita," ujarnya lagi.