PRU15: UMNO yakin kekal tiga kerusi deposit di Johor - Dr Adham

Bernama
November 13, 2022 05:15 MYT
Sokongan itu sekali gus menyumbang kepada sasaran BN Johor yang meletakkan sasaran realistik memenangi 16 kerusi Parlimen setakat ini. - Gambar/Astro AWANI
KOTA TINGGI: Kerusi Parlimen Tenggara, Kota Tinggi dan Pengerang, yang merupakan kawasan deposit tetap UMNO diyakini kekal dalam genggaman Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata keyakinan itu berasaskan kepada sambutan penyokong UMNO dan BN yang menyambut baik semua calon gabungan itu, termasuk di Parlimen Tenggara iaitu Manndzri Nasib.
Beliau berkata sokongan itu sekali gus menyumbang kepada sasaran BN Johor yang meletakkan sasaran realistik memenangi 16 kerusi Parlimen setakat ini.
"Beliau (Manndzri) merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara. Mempunyai pendidikan tinggi dan saya kenal beliau dari awal persekolahan.
"Dia calon yang kita lihat mendapat banyak sokongan sekali gus menandakan Parlimen Tenggara milik BN," katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama masyarakat Tenggara di Dewan Sri Kembaran, Bandar Tenggara di sini, pada Ahad.
Selain itu, Dr Adham, yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenggara dan penyandang kerusi Tenggara, berkata kerusi Parlimen berkenaan mempunyai kira-kira 67,134 pengundi yang berdaftar dengan lima peratus daripadanya adalah pengundi muda.
"Sebanyak 19 peratus terdiri daripada pengundi berusia 21 hingga 30 tahun. Jadi, memang kenalah memandangkan calon yang kita tampilkan juga daripada kalangan pemuda," katanya.
Manndzri, 42, yang pernah meraih beberapa anugerah belia termasuk Tokoh Belia Negara 2013 dan Anugerah Mercu Wangsa Felda 2018 itu juga diyakini dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan mampu meningkatkan keupayaan perkhidmatan di Parlimen Tenggara, kata Dr Adham.
Calon muka baharu itu akan menghadapi pertandingan empat penjuru berdepan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (Perikatan Nasional), Azhar Palal (Pejuang) dan Zuraidah Chedah (Pakatan Harapan)
Selain Manndzri, dua lagi calon BN ialah Datuk Seri Dr Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Kota Tinggi).
-- BERNAMA
#Dr Adham Baba #pengerang #UMNO #PRU15
;