PRU15: UMNO tidak gentar meskipun PN anggap BN musuh utama - Ahmad Maslan
Astro Awani
September 25, 2022 11:57 MYT
September 25, 2022 11:57 MYT
PONTIAN: UMNO tidak gentar biarpun Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebaliknya berkata, pihaknya sedia berhadapan dengan mana-mana parti selagi belum ada kerjasama dibentuk pada PRU15 nanti.
Beliau, dalam masa sama, turut menyifatkan PN tidak lagi sehaluan selepas dua kepimpinan utama parti di dalam gabungan itu mempunyai sasaran yang berbeza.
Ia berikutan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, sebelum ini, menyatakan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh mereka dan bukannya BN.
Manakala Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan BN sebagai musuh gabungan itu.
"Kelihatan mungkin ada retak menanti belah. Mungkin ada apabila kepimpinan utama dua parti dalam PN tidak sehaluan. Kita tunggu dan lihat apa perkembangan selanjutnya dan kita teliti dengan teliti, penelitian yang teliti terhadap perkembangan politik sehari dua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Walimatulurus Perdana Peringkat Daerah di Benut, di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, jelas Ahmad Maslan, tindakan meletakkan BN sebagai musuh PN sudah diduga memandangkan Bersatu sebelum ini merupakan rakan komponen PH pada PRU14.
Terdahulu pada Sabtu, Muhyiddin dilaporkan berkata semua parti komponen gabungan perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah BN.