PRU15: UMNO tanding solo, tapi terbuka untuk berunding bentuk kerajaan - Arman
Israr Khalid
September 8, 2022 05:30 MYT
September 8, 2022 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah sekali lagi menegaskan pendirian parti itu bahawa mereka akan tetap bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Begitupun, juga seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, mereka membuka pintu rundingan kepada mana-mana pihak tidak kira siapa untuk membentuk kerajaan yang sah.
Malah ketika ditanya adakah ia turut merangkumi kerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, Arman menjelaskan bahawa mereka tiada masalah untuk berunding dengan sesiapa pun.
“Sekarang ini bagi saya rundingan perlu dijalankan, sebab itu keputusan UMNO bukan retorik, kita kata kita akan pergi secara solo tapi pintu rundingan dibuka.
“Keadaan politik hari ini begitu dinamik dan progresif, kita mahu menuju ke hadapan dan benda utama yang kita perlu fikirkan ialah kepentingan rakyat dan kestabilan politik tanah air," katanya.
Arman turut ditanya sama ada partinya itu akan meminda semula keputusan Perhimpunan Agung sebelum ini yang muktamad dan sepakat menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Anwar dan DAP.
Katanya, ia tidak perlu dilakukan.
Tonton sesi penuh Dialog Bipartisan: Mengintai PRU15 yang dihoskan oleh Luqman Hariz, di sini: