PRU15: UMNO seolah-olah 'tempah maut' sekiranya kerjasama dengan PH - Penganalisis
Astro Awani
November 21, 2022 05:00 MYT
November 21, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO dilihat seolah-olah ‘menempah maut’ sekiranya memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan perpaduan.
Bahkan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerjasama itu juga dijangka menjejaskan UMNO pada jangka masa panjang.
Menurutnya, keputusan itu akan memberi kesan khususnya kepada ahli dan penyokong UMNO yang sebelum ini dilihat menentang sebarang kerjasama dengan DAP, parti komponen dalam PH.
“Pengundi akan melihat ini sebagai satu kejutan dan sudah tentu memerlukan masa untuk UMNO memulihkan imej setelah ia terkesan dengan bentuk kerjasama ini
“UMNO adalah sebuah parti yang dilihat begitu agresif memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu Islam di dalam negara dan sebuah parti yang menjadi tunjang dalam membentuk kemerdekaan negara.
“Sebagai sebuah parti yang cukup kuat dengan tema memperjuangkan Melayu Islam sudah tentu akan memberikan satu bentuk tanggapan yang agak menyimpang daripada nilai sebenar UMNO,” katanya kepada Astro AWANI.
Ditanya sama ada ahli UMNO akan terima gabungan itu atau tidak, Nirwandy berkata keputusan itu terserah kepada ahli parti itu sendiri.
“Terpulang kepada ahli-ahli UMNO sama ada boleh menerima perkara ini tetapi yang penting UMNO akan kehilangan satu bentuk pandangan dari sudut parti yang memperjuangan berasaskan kepada Melayu Islam.
“Malah UMNO mungkin akan dilabel sebagai sebuah parti politik yang biasa dan kemungkinan hilang imej itu (parti Melayu), sukar dan memerlukan jangka masa yang panjang untuk dipulihkan tanggapan itu,” ujarnya.
Meskipun di peringkat Persekutuan, gabungan PH dan BN masih belum terbentuk namun sudah ada khabar angin kedua-dua parti itu akan bersatu untuk membentuk kerajaan.
Bahkan, Kerajaan Negeri Perak juga sudah terbentuk menerusi gabungan itu, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa PH dan BN akan bergabung juga di peringkat Kerajaan Persekutuan.