PRU15: UMNO sedia berdepan khemah besar - Mahdzir
Adie Sufian Zulkefli
April 23, 2022 09:45 MYT
April 23, 2022 09:45 MYT
KUALA NERANG: Agenda 'khemah besar' yang dijangka dibawa Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah semudah membuat goreng pisang.
Demikian disuarakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata, UMNO bagaimanapun tetap bersedia untuk bersaing dengan strategi tersendiri sekiranya ia benar-benar berlaku nanti.
"Dalam politik ini ada dua perkara. Pertama, tidak pernah berhenti berfikir. Dan keduanya, kelebihan membaca fikiran apa yang bakal berlaku, segala kemungkinan.
"Jadi, mereka akan mencari jalan, apa juga kaedah, apabila datangnya pilihan raya. Salah satu daripadanya, usaha hendak buat khemah besar.
"Ia adalah sebahagian daripada strategi untuk menghadapi pilihan raya. Kita hadapilah apa jua keadaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar Besama Warga Desa KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, malam tadi.
Isnin lalu media melaporkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menegaskan, konsep khemah besar yang dicadangkan PH sebelum ini tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.
Sebaliknya, katanya, khemah besar yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut selari dengan pandangan bahawa ia hanya membabitkan blok pembangkang.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum itu dilaporkan meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan khemah besar sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Salahuddin yang juga Naib Presiden PH menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan, termasuk kepada Bersatu dan Pas bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).