PRU15: UMNO Perak terima senarai 126 calon

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 11, 2022 16:23 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menjawab pertanyaan media selepas hadir program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Dato Alaudin, Selinsing hari ini. - Foto BERNAMA
BAGAN SERAI: UMNO Perak telah menerima senarai 126 calon untuk dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Senarai itu yang termasuk nama-nama penyandang, akan diperhalusi dan dimuktamadkan oleh ‘top five’ UMNO.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam masa yang sama, semua jentera parti telah bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya.
"Macam biasa, kita memang sentiasa siap siaga, dari kita kalah (pada) 2018, kita dah mula set up team kita dan siap siaga sebaik saja saya diarahkan ambil alih Pengerusi Perhubungan Negeri.
"Saya dah mula (sejak) tahun 2018... gerak setiap bahagian, dan adakan mesyuarat. Perhubungan UMNO (juga telah) mewujudkan war room dan semua jentera sudah bekerja keras (sejak) dari 2018," ujarnya.
Saarani ditemui ketika program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di hadapan Sekolah Kebangsaan Dato’ Alaudin, Selinsing, Bagan Serai pada Selasa.
Beliau menjelaskan, walaupun ada di antara penyandang telah menawarkan diri untuk tidak dicalonkan semula, tetapi mengikut tradisi, nama-nama mereka tetap disenaraikan.
Saarani turut membayangkan kemungkinan beliau akan kekal bertanding di kerusi DUN Kota Tampan.
Ia sekali gus menolak desas desus kononnya beliau akan bertanding di Parlimen Larut.
Jelasnya lagi, pemimpin tempatan akan diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu kerana mereka juga mempunyai bakat kepimpinan.
#PRU15 #bubar parlimen #Saarani Mohamad #UMNO Perak
;