PRU15: UMNO Perak cadang Aminuddin Md Hanafiah tanding Parlimen Tambun
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 22, 2022 22:49 MYT
Oktober 22, 2022 22:49 MYT
BAGAN DATUK: UMNO Perak telah mencadangkan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
"Untuk calon BN di Parlimen Tambun, nama yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri ialah Datuk Aminuddin, iaitu Ketua UMNO Bahagian (Tambun) yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO negeri," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis ramah mesra sempena sambutan Deepavali Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang dekat sini, petang tadi.
Aminuddin adalah bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Hulu Kinta sebelum tewas kepada calon PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pada PRU14.
Ahmad Zahid turut mengalu-alukan percubaan Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Perak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila mempertaruhkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun.
Menurutnya, sebagai negara demokrasi, tentunya mana-mana calon yang ingin bertanding, bebas untuk bertanding sama ada ahli biasa atau pun presiden sesebuah parti.
"Perak adalah tempat, kubu kuat BN namun kalau mana-mana parti mahu mencuba, kita mengalu-alukannya percubaannya," katanya.
Ketika berucap pada Konvesyen Pakatan Harapan di Ipoh, malam Khamis, Anwar mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen Tambun pada PRU15, menentang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Anwar berkata, beliau bertanding dengan keyakinan untuk merampas Parlimen Tambun dan negeri Perak.