PRU15: UMNO negeri cadang Rozi Mamat bertanding di Parlimen Hulu Terengganu - Ahmad Said

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Mei 11, 2022 18:46 MYT
Nama Rozi (gambar) bakal dicadangkan untuk bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. - Gambar fail
MARANG: Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat bakal dicadangkan untuk bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Cadangan nama calon pertama Barisan Nasional (BN) di Terengganu itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada Rabu.
Ahmad yang juga ADUN kijal berkata pihaknya yakin kerusi Parlimen yang pernah menjadi milik parti itu menerusi PRU14 lalu akan dirampas kembali selepas kerusi itu menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila Ahli Parlimen yang diberi mandat pengundi atas tiket BN melompat ke parti berkenaan.
“Dia Ketua Bahagian yang mendapat undian terbesar di Terangganu. Datuk Rozi 4,000 lebih (undi) maka kita kalah di Ajil cuma empat undi, Kuala Berang kita kalah.
“InsyaAllah kita boleh ambil balik dengan Ajil yang susah sedikit, mungkin Manir maka dengan kombinasi ini dengan muka baharu dan sebagainya mungkin kita boleh.
“InsyaAllah dengan kehendak tuhan kita yakin Parlimen Hulu Terengganu jadi milik UMNO, Datuk Rozi lepas ini,” katanya di sini hari ini.
Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.
UMNO memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Bersatu setelah Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai Bersatu.
Manakala bagi kerusi DUN, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN pada PRU14.
#PRU15 #Parlimen Hulu Terengganu #Ahmad Said #Rosol Wahid #Rozi Mamat #umno terengganu
;