PRU15: UMNO mohon bubar Parlimen demi kemaslahatan, masa depan rakyat - Zahid

Bernama
Oktober 10, 2022 20:55 MYT
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ia langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO memohon Parlimen dibubarkan ketika kerajaan campuran berada di puncak kuasa demi kemaslahatan dan masa depan rakyat serta negara, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ia langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Dalam hantaran Facebook rasminya beliau berkata UMNO berjiwa besar pada 2020 merestui sebilangan wakil rakyatnya bekerjasama dalam membentuk kerajaan sementara bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara daripada kucar-kacir selepas Kerajaan PH tumbang akibat perebutan kuasa.
"Syukur Alhamdulillah mandat akhirnya dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan menyifatkan pembubaran Parlimen pada hari sebagai laluan kepada masyarakat India untuk menentukan masa hadapan mereka melalui PRU15.
Beliau berkata hubungan baik MIC dan UMNO dalam BN mampu membuahkan hasil sekali gus menjamin masa depan baik kaum India.
"MIC memang dah lama bersedia untuk PRU15. Saya minta masyarakat India untuk menilai dan memilih calon atau parti politik dengan ketepikan emosi," katanya.
Sekiranya, PRU15 diadakan pada musim perayaan Deepavali, beliau berkata ia perlu dianggap sebagai peluang untuk membantu rakyat dan bukan menjadikan Deepavali sebagai alasan untuk tidak menjalankan kewajiban.
BACA: PM Ismail Sabri umum Parlimen dibubar, beri laluan kepada PRU15
Manakala Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata selaras dengan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, beliau mengajak rakyat Malaysia tunaikan tanggungjawab membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.
Annuar berkata ia perlu supaya rakyat Malaysia boleh menumpukan sepenuh perhatian dan keupayaan mengharungi cabaran mendatang, membina semula ekonomi dan memacu negara serta kesejahteraan hidup rakyat.
Dalam pada itu, Presiden Parti Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataan berkata Gerakan kecewa dengan pengumuman pembubaran Parlimen yang menyebabkan PRU15 mungkin perlu diadakan pada musim tengkujuh.
Beliau berkata Gerakan menyifatkan PRU15 bukan keutamaan bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Malaysia ini terutamanya ketika negara bakal berdepan musim tengkujuh namun semua jentera di semua peringkat akar umbi parti dan komponen Perikatan Nasional sudah bersiap sedia menghadapinya.
-- BERNAMA
#UMNO #bubar parlimen #PRU15 #Zahid Hamidi
;