PRU15: UMNO Ketereh sokong keputusan namakan Ismail Sabri calon PM ke-10

Bernama
Oktober 14, 2022 16:00 MYT
Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama para Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh dan pelancaran jentera pilihanraya Barisan Nasional Ketereh di Kompleks YKK. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara menyokong keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menamakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sokongan berkenaan merupakan salah satu daripada lima usul yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat UMNO Bahagian Ketereh pada Jumaat.
Bahagian berkenaan juga menyokong segala usaha kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang memberikan keutamaan kepada usaha transformasi kerajaan khususnya transformasi Parlimen, peralihan ke fasa endemik, pemulihan ekonomi negara, menangani inflasi dan kos sara hidup rakyat, membela nasib rakyat serta mengekalkan keamanan dan perpaduan Keluarga Malaysia berteraskan prinsip Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.
Bahagian berkenaan juga merakamkan kesyukuran dan setinggi-tinggi tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri yang telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan prestasi cemerlang.
Selain itu UMNO Ketereh juga menyokong supaya perundingan penyatuan ummah diteruskan dengan UMNO kekal mengambil sikap terbuka untuk merealisasikan penyatuan bangsa Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum kali ini.
UMNO bahagian itu juga menyatakan kesediaan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi PRU15 dengan semangat juang tinggi, setia kepada parti dan berkhidmat bersama komponen dan Sahabat Barisan Nasional untuk memenangkan parti dalam PRU kali ini.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #PRU15 #UMNO Bahagian Ketereh #calon perdana menteri