PRU15: UMNO juga ada perasaan, Pas lupa sejarah - Ab Rauf
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 15, 2022 19:07 MYT
Oktober 15, 2022 19:07 MYT
MELAKA: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kononnya UMNO sebuah parti yang keruh jelas menggambarkan parti itu lupa sejarah kesepakatan yang pernah terbentuk antara dua parti Melayu itu.
Malah ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kemenangan besar yang berjaya ditonjolkan menerusi Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebelum ini juga berjaya membuatkan parti lain ‘cemburu’.
“Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya di Malaysia sejak merdeka (lagi) kita memenangi semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Tanjung Piai dalam pilihan raya yang lepas.
“(Jelas) membuktikan bahawa kesepakatan Pas dan UMNO ini satu gabungan yang baik waktu ketika itu dan disebabkan gabungan itulah membuatkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) berasa terancam dengan meminta Pas untuk menyeberang jambatan MN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Machap Umboo, di sini petang Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, tindakan Pas menyeberangi jambatan MN kepada Perikatan Nasional (PN) juga telah mengguris hati pemimpin BN ketika itu.
Katanya, keputusan parti itu untuk terus bersama gabungan PN dengan alasan UMNO sebuah parti keruh juga hanyalah satu ‘dalih’ yang sengaja dicipta.
“UMNO juga mempunyai perasaan dan kita juga mempunyai nilai perjuangan yang tersendiri. Kalau nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
“Saya ingin menasihatkan seluruh kepimpinan di peringkat BN dan UMNO dan seluruh negara, minta berjuang demi sebuah perjuangan yang mana kalau mereka nak bersama dengan kita datang lah dengan kerelaan hati,” tambahnya.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi BN Melaka akan menyenaraikan cadangan supaya seorang menteri penuh dilantik dalam kalangan ahli parlimen BN pada mini manifesto BN Negeri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ujarnya, ini kerana, sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 lalu, belum pernah ada mana-mana ahli parlimen BN dari Melaka memegang jawatan itu.